Serena memerlukan satu lagi kejuaraan untuk menyamai rekod legenda tenis Australia, Margaret Court iaitu merangkul 24 gelaran Grand Slam.

Pemain berusia 36 tahun itu yang juga juara Terbuka AS enam kali, mara ke separuh ­akhir selepas menyingkirkan pilihan kelapan dari Republik Czech, Karolina Pliskova 6-4, 6-3.

Menanti Serena pada peringkat empat terbaik esok adalah bintang sensasi Latvia, Anastasija Sevastova yang mengejutkan juara bertahan dan pilihan ketiga, Sloane Stephens 6-2, 6-3.

Menurut Serena, dia hilang kata-kata apabila dimaklumkan, pengarah filem legenda, Spike Lee menyamakan dirinya de­ngan Michael Jordan dan Ali dalam satu temu ramah bersama penyiar tele­visyen, ESPN.

“Disamakan dengan Ali atau Jordan, saya benar-benar hilang kata-kata.

“Ali adalah nama besar, dia telah me­lakukan banyak perkara hebat dalam sukan.

“Dia membawa pengaruh besar kepada dunia dan semua orang. Saya juga mahu dikenang seperti mana dia dikenang oleh masyarakat dunia.

“Saya mahu menjadi seperti Ali. Ia bukan tentang apa yang anda lakukan di luar sana tetapi bagaimana anda boleh menjadi inspirasi kepada ramai orang di luar gelanggang. Itu adalah impian saya,” kata Serena.

Pertemuan Serena dan Pliskova hari ini berlangsung di bawah cuaca panas, dan bekas pemain No. 1 dunia itu bernasib baik berjaya meneruskan kemaraan, biarpun bermula perlahan di set pembukaan. – AGENSI