Selepas enam perlumbaan, pa­sukan ‘Oi!’ yang dikemudi Peter Ahern mengumpul enam mata penalti, sekali gus sukar digugat oleh wakil negara, ‘ ‘Utarid’ yang ketinggalan jauh dengan 13 mata penalti.

Pada saingan hari ketiga semalam, ‘Utarid’ menamatkan sai­ngan di tangga kedua, diikuti ‘Zuhrah’ dan ‘Zuhal’ di tempat terakhir.

Walaupun sukar mencabar kedudukan ‘Oi!, namun ketua pasukan ‘Utarid’, Ishak Jab belum mahu mengibarkan bendera putih tetapi sebaliknya berkata tidak mustahil untuk pasukannya memintas kedudukan pasukan pendahulu itu.

“Pasukan ‘Oi!’ memang tidak dinafikan mempunyai kelebihan dalam pelbagai aspek seperti kru yang berpengalaman, kapal dan teknologi yang canggih.

“Tetapi itu bukan penghalang untuk mengaku kalah. Tidak mustahil untuk kita kejar mereka dan siapa tahu mungkin ‘Utarid’ mampu menjadi juara sekiranya pasukan ‘Oi!’ melakukan kesilapan,” katanya.

Ishak juga berkata, satu lagi wakil negara, ‘Zuhrah’ juga mampu memberi saingan hebat kerana hanya berada di belakang pasukan mereka dengan 17 mata penalti.

“Zuhrah mampu memberi saingan kepada kami tetapi mungkin tidak bernasib baik kerana mengalami beberapa masalah teknikal dan jika tidak mereka mampu untuk menyaingi pasukan kami,” katanya.

‘Zuhal’, yang pertama kali menyertai RLIR, masih kurang pengalaman untuk bersaing dalam perlumbaan besar seperti ini, katanya.

Kejohanan lima hari itu, yang berakhir esok disertai oleh 40 kapal layar dari seluruh dunia termasuk Malaysia, Britain, Australia, Thailand, Singapura, Rusia, Austria, Denmark, China, Hong Kong, Itali, New Zealand dan Jepun. – BERNAMA