Pengurus pasukan olahraga Sukan SEA 2017, Datuk Salim Par­lan berkata, keyakinan itu berdasarkan pres­tasi yang ditunjukkan Khai­rul Hafiz Jantan, Badrul Hi­syam Abdul Manap dan Zaidatul Husniah Zulkifli dalam acara 100 meter lelaki serta wanita.

Pada Julai tahun lalu, Khairul Hafiz memadam rekod 100m lelaki berusia 18 tahun apabila mencatat 10.18 saat pada Sukan Malaysia di Sarawak. Dia me­lebur rekod milik Watson Nyambek 10.30s.

Lapan bulan sebelum itu, Badrul Hisyam hampir meme­cah rekod kebangsaan de­ngan mencatat 10.29s, namun catatannya tidak diiktiraf kerana penganjur Kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN, Brunei tidak menggunakan alat penyukat angin.

Sabtu lalu, giliran Zaidatul Husniah mengejutkan peminat olahraga apabila mencatat kepantasan 11.35s dalam 100m wa­nita pada Liga AGN 7 di Afrika Selatan, namun seperti Badrul Hisyam, catatan itu tidak di­iktiraf kerana menerima bantuan angin 2.5 meter/sejam. Rekod kebangsaan 100m wanita kekal milik G. Shanti 11.50s.

Bagaimanapun peningkatan prestasi yang dipamerkan atlet berkenaan, selain ‘perguruan’ 60 hari yang dijalani skuad olahraga di Afrika Selatan diyakini mampu memberi impak pada Sukan SEA nanti.

“Saya tidak mahu memberi tekanan kepada atlet kita de­ngan berkata mereka mampu mendapatkan pi­ngat emas tetapi saya dapat rasakan atlet pecut negara mempu­nyai potensi untuk meraih satu keputusan luar biasa.

“Malah ketika ini kita mempunyai kelompok atlet pecut yang ramai dalam acara lelaki dan wanita. Prestasi yang mereka pamerkan ketika di Afrika Selatan juga amat positif,” katanya dalam sidang akhbar Program Kita Juara di sini, hari ini.

Kali terakhir Malaysia me­raih emas 100 meter lelaki pada Sukan SEA adalah menerusi Nazmizan Muhammad di Hanoi 2003, malah atlet kelahiran Terengganu itu turut merangkul gelaran berganda dengan muncul juara 200m.

Shanti pula kekal sebagai atlet wanita terakhir memenangi emas Sukan SEA yang dilakukan di Jakarta pada 1997.

Salim turut menyuarakan keyakinan, olahraga mampu membantu kontinjen Malaysia mencapai sasaran muncul juara keseluruhan Sukan SEA 2017.

“Saya percaya dengan keupayaan atlet olahraga ketika ini dan mereka juga telah membuktikannya menerusi kejohanan disertai.

“Sebagai contoh dalam acara jalan kaki banyak negara yang sukar untuk memberi cabaran kepada atlet kita.

“Buat masa ini persediaan olahraga bagi menghadapi Sukan SEA berjalan baik se­perti dirancang,” katanya lagi.