Presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, biarpun sepak takraw mencapai sasaran pada Sukan SEA 2017 tempoh hari, namun pihaknya tidak berpuas hati dengan persembahan yang diberikan.

“Berdasarkan apa yang telah berlaku, Ketua Jurulatih sedang menyediakan laporan yang terperinci untuk menjalankan satu ‘post-mortem’ bagi menambah baik prestasi pemain di masa akan datang.

“Kita juga telah mengambil keputusan supaya bekas pemain dan jurulatih negara bersama-sama dengan PSM untuk bantu kita memantau pemain-pemain pada Grand Prix (GP) yang dijalankan untuk dipilih ke Sukan Asia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak. Yang turut hadir, Ketua Seranta PSM, Datuk Mohd. Sumali Mohd. Raduan dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad.

Dalam pertemuan tersebut, PSM mengadakan perbincangan dengan pihak Utusan Malaysia berhubung Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan yang akan berlangsung pada 28 hingga 1 Oktober ini.

Sementara itu, Aziz berkata, Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan diteruskan bagi membantu meningkatkan kesedaran dan memartabatkan sukan tradisi sepak takraw di persada global.

Ia juga diharap dapat melahirkan pelapis baharu yang berpotensi bagi meningkatkan mutu sukan sepak takraw negara sekaligus menggalakkan belia terlibat dalam sukan dan mewujudkan aktiviti sihat dalam kalangan belia.

Kejohanan bagi peringkat awal juga akan bermula 28 – 30 September ini dan sebanyak 200 regu dijangka bertarung di peringkat awal dalam pertandingan kalah mati untuk melayakkan diri ke peringkat akhir.

Berita baik buat semua pembaca akhbar Utusan Malaysia, anda berpeluang untuk menyertai peraduan cabutan Bonanza yang diadakan bersempena dengan kejohanan kali ini.

Peraduan ini hanya memerlukan pembaca mengisi borang peraduan beserta empat keratan kepala akhbar Utusan Malaysia mengikut tarikh yang ditetapkan.

Berdasarkan mekanisme ringkas dan mudah ini diharapkan menerima penyertaan yang menggalakkan daripada pembaca setia dan pembaca baharu Utusan Malaysia. - UTUSAN ONLINE