Lebih manis lagi, kejayaan atlet kelahiran Kedah itu di Dewan Merdeka hadir pada hari lahirnya yang ke-20, sekali gus menjadi hadiah paling istimewa.

Rekod dan emas pertama Farhana Nabila hadir dalam saingan clean & jerk apabila dia mengangkat bebanan 104kg, sekali gus memadamkan rekod lama 95kg milik atlet Pahang, Fatin Amira Mohd. Nasir yang dilakukan di Sarawak, dua tahun lalu.

Farhana Nabila kemudian meraih emas dan rekod kedua dalam saingan snatch dengan angkatan 82kg, memperbaiki catatan lama Fatin Amira iaitu 75kg.

Pingat perak dan gangsa kedua-dua acara dimenangi Kartina Dumin dari Sabah (103kg, 81kg) dan Tarra Azahari Yeo dari Sarawak dengan catatan 77kg serta 60kg.

Kata Farhana Nabila, ini kali pertama ibunya, Sabariyah Abdul Ghani datang menonton dia beraksi, dan kehadirannya bagaikan memberi tenaga luar biasa untuk melakukan angkatan yang pada awalnya dianggap sukar.

“Saya sangat puas dapat meraikan kejayaan ini dengan ibu. Selama enam bulan kami tidak berjumpa dan hanya berhubung melalui telefon kerana ibu bekerja di Kuala Lumpur manakala saya di Kedah menjalani latihan.

“Inilah hasil pengorbanan saya, malah saya turut ditimpa kecederaan pinggang dalam latihan, Mei lalu dan sejujurnya agak bimbang kerana angkatan terbaik saya hanya 80kg (snatch).

“Sebaik sahaja melihat kelibat ibu, ia seperti momen luar biasa. Saya rasa besi menjadi ringan dan tidak sangka dapat melepasi pencapaian terbaik saya,” katanya, yang hanya kurang 1kg untuk memadam rekod kebangsaan acara snatch milik Nur Khasida Abd Halim. - UTUSAN ONLINE