Azaharin Ahmad Tajuddin yang mewakili Perlis mengungguli kategori ‘Special Gate In One Challenge’ membawa pulang sebuah Iphone 6S dalam kejohanan ‘Gate In One Woodball Challenge’ lewat petang semalam.

Pertandingan sehari suntuk yang berjaya menarik 79 peserta mengambil bahagian tersebut dianjurkan buat julung-julung kalinya sedemikian rupa oleh Kelab Woodball Prang Besar (KWPB) dengan kerjasama Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Persekutuan Woodball Asia (AWF) dan Persatuan Woodball Malaysia (MWA) di perkarangan Kolej Sains Penkomputeran dan Teknologi Maklumat UNITEN di Kajang, Selangor.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Penaung DiRaja Persatuan Woodball Perlis (PWNPs) dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan majlis pengurniaan hadiah-hadiah kepada para pemenang pelbagai kategori.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Naib Canselor UNITEN, Prof. Ir. Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha dan Presiden KWPB, Asrul Nizwan Mohamad.

Turut hadir ialah Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr. Xavier Jayakumar.

Turut diadakan sempena kejohanan ini ialah pertandingan FB Photo Challenge, Instagram Photo Challenge dan Cabutan bertuah.

Untuk rekod, KWPB telah ditubuhkan pada 17 Mei 2018 untuk memperkenal, mempromosi dan menarik minat warga Putrajaya menceburi sukan moden berasal dari negara Taiwan ini. - UTUSAN ONLINE