Pengarah Bahagian Perancangan Program dan Institusi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti merangkap Timbalan Yang Dipertua Majlis Sukan Politeknik (MSP), Muhamad Rumzi Mamat berkata, kesemua atlet berkenaan mencapai kejayaan yang amat membanggakan pada Sukma kali ini.

“Pencapaian sebegini membuktikan bahawa Pusat Kecemerlangan Bakat atau (PKAT) yang ditubuhkan oleh MSP di seluruh Politeknik Malaysia berjaya mencapai objektifnya.

“Pihak MSP dan Politeknik Malaysia secara keseluruhan berazam untuk terus melahirkan graduan yang berjaya bukan sahaja dalam bidang akademik malah dalam bidang sukan juga,” katanya sempena majlis perasmian penutup Karnival Sukan Politeknik 2018 di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) di sini hari ini.

Majlis perasmian penutup karnival itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.

Kontinjen Perak muncul johan keseluruhan karnival edisi ke-24 itu selepas mengondol lima emas dan satu perak mengenepikan 12 kontinjen lain dalam lima sukan yang dipertandingkan iaitu bola sepak, bola jaring, sepak takraw, badminton dan petanque.

Kontinjen Pahang yang memperoleh tiga emas, satu perak, satu gangsa muncul naib johan manakala kontinjen Selangor yang memperoleh dua emas, satu perak dan satu gangsa ditempat ketiga.

Seramai 900 atlet daripada politeknik seluruh negara terlibat dalam karnival berkenaan yang berlangsung selama lima hari dan berakhir hari ini yang dianjurkan PIS dengan kerjasama Majlis Sukan Politeknik (MSP).