Muteti mencatatkan masa dua jam 13 minit 29 saat, mendahului rakan senegara Kiprop Tonui dan Kennedy Kiproo Lilan, yang menduduki tempat kedua dan ketiga masing-masing dengan masa 2'13: 39s dan 2'15: 02s.


"Perlumbaan tahun ini agak mencabar buat saya. Ia sangat bagus untuk memenangi perlumbaan ini buat kali kedua dan saya gembira dengan catatan masa ini," katanya pada sidang akhbar selepas penyampaian hadiah.


Walaupun laluan tahun ini berbeza dari tahun lepas, Muteti berkata latihan intensif selama tiga bulan telah membantu beliau mendapatkan stamina yang perlu bagi memenangi perlumbaan ini sekali lagi.


Dengan kejayaan itu, beliau memenangi wang tunai USD17,500 (kira-kira RM67,733.50) manakala Tonui membawa pulang USD7,500 (kira-kira RM29,028) dan Lilan terpaksa berpuas hati dengan USD5,000 (kira-kira RM19,352).


Dalam acara yang bermula dan berakhir di Dataran Merdeka di sini hari ini, pelari Kenya mendominasi lima tempat teratas dalam kategori lelaki manakala untuk kategori wanita, peserta Kenya hanya menguasai dua tempat teratas.


Sementara itu, dalam kategori wanita, Elizabeth Chepkanan Rumokol dari Kenya tiba pada garisan penamat dengan masa 2'34: 33s lantas mengalahkan rakan senegara, Nancy Joan Rotich yang mencatat masa 2'53: 40s sementara Susan Marie Swier dari Amerika Syarikat menduduki tempat ketiga dengan 3' 24: 35s.


Kesemua peserta membawa pulang wang tunai sama seperti dalam kategori lelaki.


"Saya sangat gembira dengan kemenangan ini kerana saya kembali kali ini dengan penuh rasa yakin," kata Rumokol.


Kategori marathon penuh tertutup (kategori Lelaki dan Wanita Malaysia) pula dimenangi oleh Muhaizar Mohamad dan Loh Choi Fern.


Lebih daripada 38,000 pelari mengambil bahagian dalam acara yang menampilkan enam jarak perlumbaan - Kids Dash (3 km dan 1km), 5km, 10km, Separuh Maraton dan Maraton Penuh ini.




KEPUTUSAN:




Maraton Penuh Terbuka Lelaki:




1. Cosmas Matolo Muteti (KEN) - 2'13:29s


2. Kiprop Tonui (KEN) - 2'13:39s


3. Kennedy Kiproo Lilan (KEN) - 2'15:02s




Maraton Penuh Terbuka Wanita:




1. Elizabeth Chepkanan Rumokol (KEN) - 2'34:33s


2. Nancy Joan Rotich (KEN) - 2'53:40s


3. Susan Marie Swier (USA) - 3'24:35s




Maraton Penuh Lelaki Malaysia:




1. Muhaizar Mohamad - 2'33:24s


2. Nik Fakaruddin Ismail - 2'33:43s


3. Tan Huong Leong - 2'34:29s




Maraton Penuh Wanita Malaysia:




1. Loh Chooi Fern - 3'14:04s


2. Yap Yee Ling - 3'24:46s


3. Yee Pei Ni - 3'27:23s


- BERNAMA