Pengurus Besar MRU, Mohd. Mazuri Sallehuddin berkata, peluang bagi pasukan lelaki meraih sekurang-kurangnya pingat perak di temasya dwitahunan itu agak cerah meskipun bakal berdepan cabaran getir daripada juara bertahan, Filipina, Thailand dan Singapura.

Jika pencapaian di Singapura dua tahun lalu menjadi ukuran, skuad ragbi mampu menghadirkan sebutir pingat perak.

“Pasukan lelaki negara sudah mula menjalani latihan sejak lapan bulan lalu bagi menghadapi temasya kali ini dan saya percaya sasaran pingat ini adalah realistik. Bagaimanapun, Thailand wajar diberikan perhatian serius kerana mereka ini adalah ‘silent killer’, terutama dalam kejohanan seperti ini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.

Buat masa ini, skuad lelaki mempunyai senarai 16 pemain manakala 14 pemain tersenarai dalam pasukan wanita, bagaimanapun senarai nama akhir hanya akan diputuskan tiga hari sebelum kejohanan bermula.

Keputusan itu dibuat bagi memastikan setiap pemain memberi fokus sepenuhnya semasa sesi latihan dan pada masa sama mengelakkan mereka daripada berada dalam zon selesa.

Mohd. Mazuri memberitahu, meskipun skuad ragbi wanita masih baharu dalam rantau ini namun pencapaian tempat keempat semasa di Singapura membuktikan mereka juga berpotensi untuk menyumbang sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam edisi kali ini.