Juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) berusia 21 tahun itu, berjaya mengawal rasa gugupnya untuk menundukkan Petra Kvitova 7-6 (7/2), 5-7, 6-4 dan merangkul gelaran Grand Slam berturut-turut, selain menjadi pemain Asia pertama menghuni kedudukan No. 1 dunia dalam masa yang sama.

“Saya benar-benar teruja menjadi pemain No. 1 dunia yang baharu. Saya sentiasa mengimpikan untuk berada pada kedudukan ini dan saya berasa berbesar hati dapat berada dalam kelompok elit yang berjaya menghuni ranking No. 1 dunia,” kata Osaka selepas merampas kedudukan tersebut daripada ratu tenis Romania, Simona Halep.

Pada usia 21 tahun, 104 hari, dia muncul selaku pemain termuda berada di kedudukan teratas dalam ranking dunia sejak Caroline Wozniacki berbuat demikian pada 2010 sewaktu umurnya 20 tahun, 92 hari.

Selepas menjejakkan kaki ke separuh akhir pada Terbuka China, Oktober lalu, Osaka menjadi pemain wanita Jepun kedua yang berjaya memecoh kelompok lima terbaik, selepas Kimiko Date berjaya melakukannya dengan menempatkan diri di kedudukan No. 4 dunia pada November 1995.

Osaka kini selangkah ke depan bagi memahat namanya dalam sejarah tenis dunia, apabila muncul pemain Asia pertama yang menghuni kedudukan No. 1 dunia sejak ranking berkomputer diperkenalkan pada 1975. - AFP