Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, secara rasminya Prasarana telah memaklumkan waktu operasi dilanjutkan kepada pukul 2 pagi namun memberi jaminan akan menawarkan perkhidmatan sehingga ke penumpang terakhir yang meninggalkan Stesen Bukit Jalil.

“Pada 19 Ogos ini kita akan mengadakan pembukaan Sukan SEA dan saya berharap agar orang ramai menggunakan perkhidmatan awam. Cara terbaik adalah bawa kereta dan letakkan di stesen LRT.

“Mereka kemudiannya boleh menaiki LRT ke Stesen Bukit Jalil namun sekiranya ingin membawa kenderaan, mereka boleh meletakkannya di tempat yang disediakan,” katanya ketika ditemui dalam program FIT Malaysia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut lebih 20,000 peserta telah menyertai acara larian dan berbasikal.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Belia Sukan (KBS); Datuk Lokman Hakim Ali, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KBS; Nik Abdul Kadir Nik Mohammad serta Ketua Kontinjen Sukan SEA Malaysia; Datuk Marina Chin.

Jelas Khairy lagi, beberapa pemimpin tertinggi negara luar dijangka menghadiri pembukaan Sukan SEA termasuk kerabat diraja Brunei.

“Mengenai penglibatan orang kenamaan dalam Sukan SEA, ia sesuatu yang baik. Apabila mereka bertanding, mereka akan bertanding sebagai atlet dan penghormatan akan diberikan ketika mereka berada di luar gelanggang.

“Ketika acara pembukaan kawalan keselamatan bukan sahaja akan dilakukan di Bukit Jalil tetapi di seluruh Kuala Lumpur,” katanya.