Ini kali pertama Jepun memiliki dua wakil serentak dalam acara perseorangan lelaki dan wanita pada kejohanan Grand Slam.

Pencapaian terbaik negara itu sebelum ini adalah pada Wimbledon 1995 apabila Shuzo Matsuoka dan Kimiko Date layak ke suku akhir.

Nishikori, 29, yang dilatih oleh Matsuoka ketika berusia 12 tahun mara selepas mengetepilan pilihan ketujuh dari Croatia, Marin Cilic 2-6, 6-4, 7-6 (7/5), 4-6, 6-4.

Dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal, Osaka, yang turun sebagai pilihan ke-20 menewaskan pemain Ukraine, Lesia Tsurenko 6-1, 6-1.

Nishikori yang mara ke separuh akhir Terbuka AS buat kali ketiga akan menentang bekas pemain No. 1 dunia iaitu juara 2015 dan 2011, Novak Djokovic dari Serbia, Sabtu ini.

Djokovic mara selepas menewaskan pemain Australia, John Millman 6-3, 6-4, 6-4

Osaka, 20, yang menjadi pemain wanita Jepun pertama layak ke separuh akhir Grand Slam sejak Kate melakukannya di Wimbledon 1996 akan bertemu bintang tuan rumah, Madison Keys esok.

“Ini adalah pencapaian yang hebat buat Jepun. Naomi bermain baik dan dia juga telah memenangi gelaran Masters (Indian Wells). Saya rasa dia boleh merangkul gelaran di sini,” kata Nishikori yang tidak menyertai Terbuka AS 2017 akibat kecederaan.

Bagi Osaka, sasaran awalnya di New York hanya mencari tiket suku akhir, dan kejayaan melangkah ke separuh akhir satu pencapaian yang tidak dijangka.

“Seluruh badan saya seperti menggeletar, saya benar-benar cemas. Jadi, berjaya bermain baik dan meneruskan cabaran adalah sesuatu yang amat melegakan.

“Saya semakin bertenaga ke­rana beraksi di depan ribuan penyokong yang sangat ceria, bersorak dan memberi semangat. Mereka sangat membantu,” kata Osaka. – AFP