Murray tewas mengejut di pusingan ketiga kepada pemain dari Sepanyol, Albert Ramos-Vinolas yang juga pilihan ke-15 dengan keputusan 2-6, 6-2, 7-5 dalam pertembungan lebih dua jam.

Ramos-Vinolas menewaskan Murray pada mata penentuan kedua untuk mara ke suku akhir dalam saingan dianggap pemanas badan sebelum Terbuka Perancis.

Malah nasib sama juga menimpa bekas juara Terbuka Perancis, Stan Wawrinka apabila pemain pilihan ketiga itu tewas mudah 6-4, 6-4 kepada pemain Uruguay, Pablo Cuevas.

Kata Murray, dia amat kecewa dengan kekalahan tersebut terutama apabila berupaya untuk menguasai perlawanan.

“Saya kecewa kerana tewas selepas mendahului 4-0.

“Jika anda melihat semula keputusan itu, ia adalah 7-5 di set ketiga mungkin saya dapat menerimanya seminggu yang lalu.

“Tetapi dengan kelebihan 4-0 di set ketiga, saya jarang sekali tewas seperti itu sepanjang karier profesional,” kata Murray. - AFP