Jelasnya, tidak guna mereka berbalas kenyataan dalam media kerana kemelut itu tidak akan dapat diselesaikan dengan cara tersebut.

AHMAD SHAPAWI
AHMAD SHAPAWI 

“Adalah lebih baik semua pihak bertemu secara empat mata dan duduk berbincang,” katanya mengulas kenyataan balas yang dibuat Irfan melalui Instagramnya, hari ini.

Tambah beliau, MSN sama sekali tidak mempunyai hasrat untuk mengambil tin­dakan ke atas Irfan sebaliknya masih terus membuka pintu rundingan secara bersemuka.

Dalam status terbaharu Irfan di media sosial, atlet berusia 24 tahun itu berkata, dia bukan menuduh, sebaliknya meluahkan isi hati kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Selepas saya membaca kenyataan yang dibuat oleh MSN. Saya mulakan dengan mohon maaf atas sebarang kesulitan,” katanya.

Irfan, bagaimanapun, mempertahankan tindakannya mengeluarkan duit poket sendiri bagi mendapatkan jurulatih baharu selepas MSN membuat keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak pembimbingnya itu.

“Saya terus mencari dan memilih jurulatih terbaik untuk saya serta bersesuaian dengan keadaan kewangan MSN. Sebab masa saya sudah suntuk. Banyak pertandingan besar tahun ini,” katanya menerusi Instagram, irfan_sham, semalam.

Jelas Irfan, jurulatih yang dipohonnya itu lebih murah berbanding pembimbing terdahulu, selain individu tersebut pernah mengendalikan atlet lain sehingga memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik 1992 di Barcelona.

“Saya pernah berlatih dengannya sebelum ini dalam tempoh singkat. Jurulatih ini merupakan pemenang perak Olimpik 1980 Moscow dan juara dunia 1983 di Helsinki, Finland.

“Sehingga kini dia masih menduduki ranking dunia sepanjang zaman. Sebab utama saya nak pilih jurulatih saya secara peribadi kerana saya lebih tahu sukan saya berbanding pengurusan,” katanya.

Irfan juga memberitahu, dia berlatih di Eropah kerana tiada program latihan terperinci sains sukan dan perubatan.