Solomon, 75, yang lebih dikenali sebagai Acheh, memenangi gelaran itu pada tahun 1969.

Nama sebenarnya adalah Suratinan Tamin dan dia mula menyertai sukan bina badan pada tahun 1960-an selepas diberhentikan sekolah.

Anak penjual sate dan bekas pelajar di Sekolah St. Thomas, Sarawak itu kemudian menyertai sekumpulan belia berlatih angkat berat dan menyertai pertandingan kecil, termasuk anjuran sempena funfair.

Dalam satu pertandingan yang diiktiraf Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Sarawak, beliau menang. Beliau turut memenangi pertandingan Mr. Hercules pada 1963 dan sejak itu menggunakan nama komersial ‘Solomon Esmanto’, yang membolehkannya menyertai Mr. Ku­ching kemudiannya.

Sejak kemenangan itu, Solomon tidak menoleh ke belakang dan berterusan mencipta pelbagai kejayaan dan memenangi pelbagai anugerah, baik di peringkat tempatan, kebangsaan dan antarabangsa, hingga akhir 1970-an.

Kejayaan terbesarnya tentulah sebagai pemenang Mr. Asia pada 27 Disember 1969 di Sri Lanka. Beliau merupakan anak Malaysia pertama memenangi gelaran setinggi itu pada waktu itu, setelah diberi saingan sengit oleh peserta berpengalaman dari Jepun, Yukio Ozawa.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia dikenali dalam sukan bina badan di peringkat dunia.

Pada 1972, Solomon menduduki tempat kelima Kejohanan Amatur Asia selain menduduki tempat ketujuh dalam Mr. Universe.

Pada 1971, Solomon dimahkotakan sebagai pemenang Anugerah Sukan Negeri Sarawak, sebagai mengiktiraf pelbagai kejayaan yang dirangkulnya.