Media Britain, Daily Mail dan Daily Telegraph melaporkan, Mourinho telah pergi ke terowong menuju ke bilik persalinan City selepas skuad bimbingannya tewas 1-2 kerana dia berasakan cara mereka meraikan kemenangan tersebut keterlaluan dan tidak menghormati orang lain.

Mourinho dikatakan bertikam lidah dengan penjaga gol City, Ederson sebelum air serta susu disimbah ke badan pengurus United itu, malah dia juga dipukul di kepala dengan menggunakan botol plastik.

The Mail melaporkan, pasukan keselamatan United terpaksa meleraikan pergaduhan itu yang melibatkan 20 pemain dan staf pasukan dari kedua-dua kelab, yang mana insiden tersebut berlaku berhampiran terowong Old Trafford.

Kemenangan City telah memberi kelebihan 11 mata ke atas pasukan di persada carta Liga Perdana Inggeris itu, yang sekali gus menaikkan status mereka selaku pasukan pilihan untuk merangkul gelaran.

Kejadian yang menimpa Mourinho telah mengingatkan peminat bola sepak tentang insiden Battle of the Buffet yang berlaku selepas United menewaskan Arsenal pada Oktober 2004, apabila pemain tengah Arsenal, Cesc Fabregas melemparkan piza ke arah pengurus United, Alex Ferguson.

Sementara itu, dalam sidang akhbar, warga Portugal tersebut mengakui persaingan memburu gelaran liga telahpun berakhir selepas kejayaan yang dilakar City ke atas United.

Bos United itu berasakan skuad bimbingan Pep Guardiola amat bernasib baik, dengan Ander Herrera dilayangkan kad kuning kerana sengaja menjatuhkan badannya selepas kekasaran yang dilakukan Otamendi yang didakwa tuan rumah sepatutnyasepakan penalti.

Namun, dia mengakui seteru lamanya, Guardiola bakal menerajui City merangkul gelaran Liga Perdana dan persaingan memburu gelaran itu berakhir.

“Saya yakin semua orang akan berjuang bagi mengumpul mata dan cuba merapatkan jurang, tetapi City kini selesa di depan.

“Mereka sebuah pasukan yang sangat bagus dan amat bernasib baik. City bertuah, keputusan berpihak kepada mereka,” kata Mourinho yang berang kepada pengadil, Michael Oliver kerana tidak menghadiahkan penalti ekoran kekasaran Otamendi ke atas Herrera. – AFP