Berusia 21 tahun, atlet seni bela diri campuran (MMA) yang mempunyai pelbagai latar belakang hebat dalam wusyu, muay thai dan jiu-jitsu itu akan bertarung dalam kelas atomweight.

Jihin berjanji akan menampilkan aksi agresif apabila berdepan pencabar dari Filipina, Torres.

“Saya bekerja keras selama ini dan percaya mampu menundukkan Jomary. Banyak cara saya boleh menang dan saya yakin dengan kemampuan saya.

“Saya tidak mahu keluar dari gelanggang sebagai pertarung yang membosankan dan mahu tunjukkan kepada penyokong di Malaysia kenapa saya menjadi peserta paling menarik dalam One Championship,” katanya.

Kekalahan kepada Gina ‘Conviction’ Iniong dari pasukan Lakay dalam One Championship: Clash of Legend, Februari lalu bagaimanapun membuatkan Jihin lebih berhati-hati.

“Saya sudah memantapkan kualiti serangan dan bekerja keras untuk serangan di atas lantai. Memang saya penat tetapi saya tahu saya tidak boleh me­nyerah,” katanya lagi.

Jihin mengakui, Torres bukan lawan mudah terutama selepas dia menundukkan lawan seperti Rika ‘Tiny Doll’ Ishige dan April Osenio dari pasukan Lakay.

“Jurulatih, Melvin Yeoh percaya saya mampu tundukkan Torres tetapi kami tidak boleh memandang rendah cabaran lawan,” katanya. - UTUSAN ONLINE