Berdasarkan pencapaian skuad menembak negara ketika ini tidak keterlaluan untuk mengatakan mereka berada di landasan terbaik apabila kontinjen negara muncul juara keseluruhan dalam Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) 2017 yang berlangsung di Lapang Sasar Menembak Subang pada Mei lalu.

Malaysia mengutip 26 emas manakala Vietnam di tempat kedua dengan sembilan emas manakala Singapura di tempat ketiga selepas mengumpul enam bagaimanapun pada kejohanan tersebut Thailand tidak mengambil bahagian.

Selain itu, penembak muda negara, Eddy berjaya memecahkan rekod baharu kebangsaan dalam acara 10 meter (m) air pistol lelaki di Kejohanan Kebangsaan dekat venue yang sama pada 15 Julai lalu.

Eddy mencipta rekod baharu 242.2 mata mengatasi catatan lama dipegang Choo Wen Yan. Mac lalu, Wen Yan mencatat 237.4 di Kejohanan Trofi Tun Hanif.

Kejayaan itu pastinya memberikan suntikan motivasi kepada Eddy untuk beraksi dalam temasya dwitahunan itu malah penembak dari Johor itu yakin dia mampu menghasilkan kilauan emas pada hari pertandingan biarpun menerima tentangan sengit terutamanya pemenang emas Sukan Olimpik 2016, Hoang Xuan Vinh dari Vietnam.

“Vietnam dan Thailand adalah cabaran utama saya namun selepas saya memecahkan rekod kebangsaan tempoh hari ia membuatkan saya berasa lebih yakin untuk memenangi emas cuma saya perlu mengekalkan prestasi terbaik semasa saya.

“Bagaimanapun saya tidak nafikan, agak susah untuk menang emas sebab ada pencabar dari Vietnam yang pernah menang emas pada Sukan Olimpik 2016 namun saya tetap cuba berusaha untuk memberikan yang terbaik,”kata Eddy ketika ditemui Utusan Malaysia di Bukit Jalil hari ini.

Eddy bakal beraksi dalam Sukan SEA buat kali ketiga selepas kali pertama melakukannya empat tahun lalu dan pencapaian terbaiknya pernah memenangi emas dalam acara 50m dan satu perak (10m air pistol) pada Sukan SEA 2013 di Myanmar.

Dalam pada itu, seorang lagi penembak negara, Muhammad Ezuan Nasir Khan melahirkan keyakinannya untuk memperoleh emas pertamanya apabila bakal membuat penampilan kali keempat pada temasya dwitahunan tersebut.