Kejayaan itu menyaksikan skuad wusyu Melaka telah menyumbangkan lima emas kepada kontinjen negeri tersebut pada temasya kali ini, dan dilihat berpeluang untuk menambah pingat mereka menerusi sebelas lagi pertandingan pada hari terakhir acara tersebut esok.

Sementara itu, Cheong Min mengakui emas yang diraihnya dalam acara nanquan wanita secara tidak langsung mengubati kegagalannya semalam apabila sekadar meraih perak dalam acara nandao.

Atlet kebangsaan itu mengumpul 9.56 mata untuk emas, menewaskan jaguh cilik dari Kelantan Nor Azira Kamarudzaman untuk perak selepas me­ngutip 9.25 mata dan Lee Hui Xuan dari Sarawak meraih gangsa dengan 9.05 mata.

Bagi Cheong Min, 20, dia berpuas hati kerana dapat menu­tup tirai pembabitan terakhir­nya dalam Sukma dengan kenangan manis apabila berjaya membantu Melaka menambah kutipan pingat emas.

Namun katanya, biarpun tanpa kelibatnya dalam edisi sete­rusnya kerana statusnya sebagai atlet kebangsaan yang pernah beraksi dalam Sukan Asia, dia tetap yakin barisan atlet Melaka mampu untuk meneruskan penguasaan dalam acara wusyu.

“Saya percaya pasukan Me­laka mampu terus menguasai acara wusyu ini. Melaka mempunyai mempunyai ramai atlet berbakat dan prestasi kesemua atlet Melaka sangat baik. Ramai lagi atlet yang berpotensi cerah untuk diketengahkan,” kata Cheong Min yang menyumbang satu emas, satu perak dan satu gangsa dalam Kejohanan Wusyu Dunia di Rusia tahun lalu.

Cheong Wan pula meraih emas menerusi acara changquan lelaki selepas mengumpulkan 9.62 mata mengetepikan pencabar terdekatnya, Clement Ting (9.43 mata) dari Sarawak manakala gangsa menjadi milik Chang Men Da (9.40 mata) dari Negeri Sembilan.

Sementara itu, Calvin Lee Wai Leong menyumbang emas pertama buat Negeri Sembilan selepas mengungguli acara nanquan lelaki dengan mengumpulkan 9.54 mata, mengatasi atlet dari Brunei, Mohammad Adi Salihin Roslan dengan 0.4 mata manakala gangsa menjadi milik atlet Pulau Pinang, Chuah Shangyang (9.48 mata).

Bagi kategori taijiquan lelaki, emas dirangkul Wilayah Persekutuan menerusi Kerk Qing selepas mengumpul 9.40 mata, atlet Perak, Aw Sheng Hao (9.35 mata) di tempat kedua dan Eddie Chin (9.31 mata) meraih gangsa untuk Melaka.

Dalam pada itu, Ong Yew Meng menambah satu lagi emas buat Wilayah Persekutuan dalam acara nandao lelaki dengan mengumpulkan 9.52 mata, dan perak milik Shangyang (9.48 mata) manakala gangsa dimenangi atlet Melaka, Bryan Ti Kai Jie (9.46 mata).