Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee berkata, aspek kebajikan menjadi penekanan utama kerajaan negeri bagi memastikan atlet memberi tumpuan kepada latihan tanpa adanya gangguan perkara luar.

“Kita bukan sahaja ingin menghargai usaha dan kegigihan mereka dalam penglibatan acara sukan, namun aspek yang sangat penting adalah bagaimana kita mahu membantu atlet ini dengan meningkatkan motivasi mereka supaya lebih fokus untuk menghadapi pelbagai kejohanan.

“Bagi merealisasikan hasrat itu, kita menambah baik struktur elaun untuk atlet dan jurulatih negeri ini sebagai suntikan awal dalam usaha memastikan Melaka dapat memperbaiki prestasi pada Sukma (Sukan Malaysia) 2020 di Johor.

“Ada beberapa dasar yang telah ditetapkan mengikut kategori terutamanya dalam acara ‘mainstream’ termasuk penyertaan ke Sukan Olimpik, Komanwel, SEA serta Sukma dan sekiranya atlet berjaya merangkul pingat emas, perak dan gangsa mereka layak menerima insentif ini,” katanya. - BERNAMA