Ang Chin Boon
Ang Chin Boon

Penolong Setiausaha Maba, Ang Chin Boo berkata, ini kerana acara tersebut dilihat berpeluang cerah untuk Malaysia meraih pingat memandangkan skuad kebangsaan pernah muncul sebagai naib juara pada Kejohanan Asia di Mongolia tahun lepas.

“Acara 5x5 kami tak hantar sebab saingan terlampau sengit di Sukan Asia, tetapi tidak bagi 3x3. Sebab kami ada gelaran ketika di Kejohanan Asia tahun lepas.

“Jadi, kami lebih tertumpu acara 3x3 sebab jika kami memperoleh pencapaian yang baik di Sukan Asia nanti, ia akan memberikan tiket automatik untuk beraksi di Sukan Olimpik 2020 Tokyo,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa kerja bagi sukan tersebut di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini.

Dalam pada itu, Chin Boo berkata, skuad wanita kebangsaan negara memilih Nagoya, Jepun sebagai lokasi untuk mereka menjalani latihan pendedahan dalam persediaan ke Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia pada April ini.

“Skuad kami masih dibarisi 11 pemain yang beraksi pada Sukan SEA yang lepas, jadi kami akan menambah seorang lagi pemain baharu bagi melengkapkan senarai 12 pemain.

“Sebelum ke Sukan Komanwel nanti, skuad kebangsaan akan menyertai satu kejohanan pendedahan di Nagoya, Jepun yang dijadual bermula pada 5 hingga 14 Mac ini. Setakat ini semua perancangan kita berjalan lancar,” katanya. - UTUSAN ONLINE