Jika Wai Kin berjaya melaksanakannya, dia berupaya melakar sejarah tersendiri menjadi atlet pertama di temasya ke-29 itu meraih emas secara hatrik.

Ujar atlet kelahiran Pulau Pinang itu, walaupun mengalami kecederaan sewaktu sesi latihan sejak beberapa bulan lalu, namun ia tidak menjadi penghalang untuk terus berjuang dalam semua acara yang disertainya.

“Sebelum beraksi, saya telah membuat persediaan awal terutama dari segi emosi dengan mengosongkan fikiran dan memberikan fokus sepenuhnya pada rutin persembahan.

“Walaupun kecederaan belum pulih sepenuhnya, saya tidak memberikan perhatian kepada kesakitan yang dirasai dan berharap tidak akan ada kecederaan lagi agar terus memberi aksi terbaik dalam pertandingan akan datang,” katanya ketika ditemui di sini.

Atlet yang menjadikan bintang filem Jet Li sebagai idolanya menggondol emas kedua hari ini menerusi acara qiangshu lelaki dengan pungutan mata 9.68, diikuti rakan sepasukan Wong Weng Son perak (9.65), manakala gangsa milik Muhammad Daffa Golden Boy (9.63).

Mengulas lanjut mengenai persembahan Weng Son, Wai Kin menyifatkan rakannya itu memberikan persembahan yang terbaik sekali pun tewas dua kali kepadanya.

“Kami saling menyokong antara satu sama lain, maka tidak ada istilah tercabar mahupun iri hati antara kami,” katanya.

Dalam pada itu, Skuad wusyu negara masih mempunyai peluang cerah melengkapkan sasaran enam emas dalam misi meraih gelaran juara keseluruhan esok.

Hari ini, selain emas dimenangi Wai Kin, dua perak turut disumbangkan oleh Phoon Eyin dalam acara qiangshu wanita dan Wong Weng Son (qiangshu lelaki).

Tiga gangsa pula menerusi Khaw Jun Lim menerusi acara gandingan daoshu dan gunshu lelaki, Ho Mun Hua (gandingan nandao dan nangun lelaki) serta Audrey Chan Yee Jo (taijijian wanita).

Jurulatih wusyu negara, Lim Yew Fai memuji kesemua anaknya buahnya kerana menunjukkan persembahan yang baik tanpa melakukan banyak kesilapan.

“Kita telah bersedia lebih awal sebelum berlangsung pertandingan seperti melakukan pelbagai ujian untuk mendapatkan persembahan yang sempurna,” katanya sejurus tamat semua acara hari ini.