Ketua Pegawai Eksekutif SIC Datuk Razlan Razali berkata pemantauan dan penyelenggaraan trek berkenaan dilakukan setiap hari sebelum Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) tiba dan membuat pemeriksaan pada minggu perlumbaan tersebut.

“Isu berhubung penutup longkang sudah dibaiki semasa Formula Satu (F1), tetapi kita akan maklumkan kepada FIM tentang apa yang berkaku semasa perlumbaan F1, supaya mereka boleh melihatnya.

“Pemeriksaan trek MotoGP lebih terperinci daripada F1. Malah, kita mendapati sukar memenuhi piawaian FIM kerana tahap keselamatan mereka lebih ketat berbanding F1, kerana ia perlumbaan untuk dua roda (lebih berbahaya),” katanya kepada pemberita hari ini.

Pemandu pasukan Haas, Romain Grosjean terlanggar penutup longkang yang sebelum itu terlebih dulu dilanggar Valtteri Bottas daripada pasukan Mercedes AMG Petronas, menyebabkan tayar kanan belakang jentera dipandunya meletup.

Grosjean hilang kawalan dan terbabas di penghadang litar ketika sesi latihan berbaki 10 minit, dan bendera merah dikibarkan untuk menghentikan sesi berkenaan.

Berikutan kemalangan yang menimpa pelumba Perancis itu, pegawai keselamatan mengadakan pemeriksaan pada setiap penutup longkang di litar berkenaan sepanjang 5.543 kilometer.

Sementara itu, Razlan berkata SIC menyasarkan 100,000 penonton hadir menyaksikan perlumbaan MotoGP, tahun ini.

Beliau berkata kesemua tiket Grand Stand sudah habis dijual, dengan berbaki 7,500 lagi tiket untuk tempat duduk C2 dan Shell Hillstand.

“Kita menjangkakan kira-kira 160,000 penonton sepanjang tiga hari perlumbaan itu, dan menyasarkan 95,000 penonton menyaksikan perlumbaan itu pada Ahad. Ia akan menjadi acara yang meriah,” katanya sambil menambah jumlah kehadiran penonton pada perlumbaan tahun lepas, melebihi sasaran dengan 161,553 penonton.

Razlan juga mengumumkan kenaikan harga tiket sebanyak 10 peratus untuk perlumbaan tahun depan, dengan menyatakan peningkatan kos penganjuran adalah faktor utama di sebalik keputusan tersebut.

“Kita tidak dapat mengekalkan harga tiket semasa berikutan keadaan ekonomi sekarang serta kos penganjuran yang semakin meningkat. Kali terakhir kita menaikkan harga tiket adalah tiga tahun lepas,” katanya. - BERNAMA