Pengurus pasukan Monster Yamaha Tech3 itu berkata, Sepanyol merupakan sebuah negara yang cukup istimewa di hati Hafizh yang turut diberi nama gelaran sebagai El Pescao oleh peminatnya di negara tersebut.

“Hafizh memang sangat kecewa apabila dia gagal mengutip sebarang mata di Texas. Kita boleh lihat pada sesi kelayakan dan sebelum kemalangan berlaku, dia sangat laju dan sudah tentu Hafizh mahu mengekalkan prestasinya bagi membolehkan dia terus bersaing bersama pendatang baharu yang lain.

“Sepanyol merupakan negara yang istimewa bagi Hafizh kerana dia sememangnya berpangkalan di Eropah. Dia memiliki peminat yang ramai sehingga diberi jolokan El Pescao. Perlumbaan GP Sepanyol seperti aksi di rumah keduanya,” kata Poncharal yang dipetik kenyataannya menerusi laman web www.motogp.teamtech3.fr di sini, hari ini.

Menurut warga Perancis itu, seluruh warga Monster Yamaha Tech3 tidak sabar untuk kembali ke trek bertemu rakan-rakan setelah kali terakhir berbuat demikian di Valencia, tahun lalu.

Hafizh kini mengumpul sembilan mata untuk berada di kedudukan ke-13 keseluruhan dalam senarai kejuaraan motosikal dunia bagi kelas perdana, MotoGP. Anak muda yang berasal dari Ampang, Selangor itu masih mempertahankan gelarannya sebagai pendatang baharu terbaik musim ini.

Hafizh dalam kenyataannya berkata, keadaan fizikalnya kini semakin baik dan dia tidak sabar untuk bersaing dalam perlumbaan berikut di Jerez de la Frontera.

“Saya kembali menjalani latihan dengan mengayuh basikal ataupun menunggang dirt bike sebagai persediaan menjelang aksi di Sepanyol,” katanya