Rekaan trofi yang berbentuk topi keledar pelumba itu turut memaparkan logo bendera Malaysia selain mempunyai karakter berkaitan Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Syarikat Royal Selangor sebelum ini juga pernah menjadi pilihan bagi menghasilkan trofi GP Formula Satu Singapura, Malaysia dan China.

Dalam pada itu, syarikat tersebut juga pernah menghasilkan trofi bagi kejohanan tenis seperti Shanghai ATP Masters 1000 dan Terbuka Wuhan WTA selain kejohanan golf, SIMB PGA dan Sime Darby LPGA.

“Kami berbangga untuk sekali lagi menjadi sebahagian daripada kalendar acara sukan tahunan Malaysia.

“GP Malaysia membuktikan apakah yang rakyat Malaysia mampu capai daripada pencapaian pasukan Litar Antarabangsa Sepang menganjurkan acara bertaraf dunia kepada pereka Royal Selangor yang menghasilkan trofi yang penuh ikonik ini.

“Perlumbaan tahun ini juga lebih istimewa dengan penyertaan pelumba negara,” kata Pengarah Eksekutif Pemasaran Royal Selangor, Chen Tien Yue pada satu majlis yang turut disertai pelumba negara dalam memperkenalkan trofi tersebut, selain sesi beramah mesra bersama peminat, di sini hari ini.

Antara pelumba negara yang hadir ialah Hafizh Syahrin Abdullah yang beraksi dalam kelas MotoGP, Khairul Idham Pawi (Moto2) dan Adam Norrodin (Moto3). - UTUSAN ONLINE