Pelumba Repsol Honda itu mencatat masa terpantas 40 minit 32.372 saat (s), meninggalkan pencabar terdekat dari pasukan Suzuki Ecstar, Alex Rins di kedudukan kedua (40:34.270s) dan Johan Zarco dari Monster Yamaha Tech 3 di tempat ketiga (40:34.846s).

Jejaka Sepanyol itu yang memulakan saingan di petak ketujuh gara-gara penalti kerana memperlahankan jentera semasa sesi kelayakan, semalam, mengakui dalam sidang akhbar bahawa dia terpaksa memerah keringatnya di awal aksi bagi mengejar pencabarnya yang berada di kedudukan pendahulu.

“Mujur saya dapat memulakan saingan dengan lancar seawal pusingan pertama, tetapi persembahan hari ini, bukanlah yang terbaik dalam karier saya.

“Saya cuba memacu motosikal selaju mungkin bagi memastikan saya berada dalam kelompok pendahulu,” kata Marquez yang kali terakhir memenangi GP Malaysia pada 2014.

Menurut pelumba berusia 25 tahun itu, dia akhirnya berjaya mengekori rapat di belakang juara dunia sembilan kali, Rossi ketika perlumbaan berbaki lima pusingan.

“Pada ketika itu, saya berusaha untuk bersikap tenang dan berlumba dengan cara bijak. Sewaktu saingan berbaki tiga pusingan, saya mula dapat melihat Rossi agak bergelut mengawal jentera, sehingga dia akhirnya terbabas lalu terjatuh,” ujarnya.

Marquez yang dinobatkan sebagai juara dunia pada GP Jepun, dua minggu lalu, turut berkongsi pengalamannya apabila memberitahu, kecenderungan pelumba untuk memaksa jentera meluncur lebih laju hanya akan menyebabkan risiko kemalangan berlaku.