Memacu jentera Honda, Nakagami yang masih segar dengan penampilan sulungnya dalam perlumbaan MotoGP, musim ini, mencatat masa sepusingan 1 minit 37.945 saat.

Pelumba Ducati, Danilo Petrucci dari Itali berada di kedudukan kedua setelah ketinggalan 0.023s di belakang Nakagami manakala di kedudukan ketiga menjadi milik juara dunia, Marc Marquez yang menunggang jentera Honda (1:37.970s).

Legenda Itali yang memacu jentera Yamaha, Valentino Rossi berada di tempat ke-11. Pelumba Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah pula sekadar ber­ada di kedudukan ke-23 dengan lakaran masa sepusingan 1:40.520s.

Hafizh yang bernaung di bawah pasukan KTM Tech3 Racing akan bergandingan bersama rakan sepasukan yang baharu iaitu Miguel Oliviera dari Portugal bagi musim 2019. Oliviera meraih tempat ke-24 (1:40.577s) pada sesi ujian itu.

Sesi ujian di Jerez berakhir, semalam dan akan disambung di Litar Antarabangsa Sepang pada Februari tahun depan, sebelum musim 2019 bermula.

Marquez mengesahkan gelaran dunia MotoGP kelima menjadi miliknya sewaktu Grand Prix Jepun, bulan lalu, pada ketika tiga perlumbaan masih berbaki. – AFP