Lebih manis tempat kedua pula menjadi milik Muhammad Adam Norrodin pada penampilan pertamanya dalam kejohanan tersebut.

Bermula di petak pertama, Helmi mempamerkan tunggangan cemerlang untuk memenangi perlumbaan yang memiliki 12 lap itu dengan catatan masa 26 minit (m) 44.840 saat (s), diikuti Adam 26:54.876s dan tempat ketiga menjadi milik Liam Taylor MacDonald (27:05.542s).

Adam yang kini sedang berehat sempena musim panas MotoGP, mengambil bahagian untuk mengekalkan prestasinya bagi perlumbaan seterusnya di Brno pada hujung minggu depan.

Pelumba Moto3 negara itu, berpuas hati dengan pengalaman pertamanya yang bertan­ding di perlumbaan berkenaan dengan menggunakan jentera 600cc.

“Saya gembira dapat menyertai perlumbaan ini dan keputusan bukan menjadi keutamaan tetapi lebih kepada membina stamina untuk perlumbaan seterusnya di Brno.

“Sebenarnya, jentera yang digunakan saya tidak setanding dengan jentera Helmi namun ini merupakan pengalaman yang bagus untuk saya. Terima kasih kepada SIC Junior ZK Ra­cing Team di atas sokongan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Helmi me­ngakui jenteranya lebih baik pada perlumbaan pusingan kedua ini berbanding perlumbaan pusingan pertama yang berlangsung semalam, menyaksikan dia turut muncul juara.

“Saya bermula dengan baik dan motor lebih baik berban­ding daripada semalam. Kami berharap momentum ini dapat diteruskan pada pusingan seterusnya dan memenangi lebih banyak kejuaraan,” katanya.