Pelumba Monster Yamaha Tech 3 itu yang bermula de­ngan baik apabila berjaya melonjak ke kedudukan ke-13 pada awal perlumbaan selepas bermula dari petak ke-18, walau bagaimanapun tidak mampu bertahan setelah jentera Yamaha ditungganginya mula mengalami pelbagai masalah.

Hafizh yang tidak mampu mengekalkan kelajuan motosikal secara konsisten hanya melengkapkan perlumbaan di kedudukan ke-18 dengan catatan masa 42 minit, 52.245 saat (s).

“Kami bermula dengan baik, saya berjaya berada di kedudukan ke-13 pada awal persaingan, betul-betul di belakang (Valentino) Rossi. Saya sangat bersemangat untuk bersaing dengan (Franco) Morbidelli, (Takaaki) Nakagami dan Johann (Zarco).

“Saya tidak tahu mengapa secara tiba-tiba selepas pu­singan kelapan saya mula kehilangan cengkaman di bahagian belakang jentera.

Sangat sukar untuk me­ngendalikan motosikal selepas itu. Pada awal perlumbaan, saya percaya kami mampu mengutip mata, tetapi pada pengakhirannya saya tidak boleh mengekalkan kelajuan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pasukannya.

Dalam perlumbaan bagi kelas utama itu, pelumba Honda, Marc Marquez dari Sepanyol mengungguli persaingan de­ngan masa 41:55.949s, manakala kedudukan ke­dua menjadi milik pencabar dari Itali, Andrea Dovizioso (41:56.597s) dan rakan senegaranya, Andrea Iannone di tempat ketiga (41:57.208s).

Menurut anak muda ber­asal dari Ampang, Selangor itu, walaupun keputusan tidak berpihak kepadanya dia akan terus bekerja keras bagi memperbaiki persembahannya dan amat berharap Yamaha dapat mencari jalan penyelesaian terbaik bagi meningkatkan pres­tasi motosikal.

Pengurus pasukan, Herve Poncharal turut sependapat dengan Hafizh apabila melahirkan rasa kecewanya terhadap prestasi jentera yang ternyata tidak membantu pelumba negara itu menamatkan persaingan di kedudukan yang lebih selesa.