Pelumba dari Sepanyol itu yang akan menyambut hari jadinya ke-26 pada 17 Februari ini, menggandakan kepantasan di pertengahan ujian untuk mencatat masa terpantas satu minit 59.621 saat sekali gus mengatasi rakan senegaranya, Alex Rins daripada Team Suzuki Ecstar yang ketinggalan 0.259 saat.

Juara dunia tersebut yang baru pulih daripada pembedahan di bahu kirinya semasa cuti musim sejuk lalu mencatat masa terpantas dalam keadaan cuaca panas terik pada pusingan ke-26 daripada keseluruhan 29 pusingan dilakukannya di litar sejauh 5.543 kilometer itu.

Suhu di Litar Sepang mencecah sehingga 56 darjah celsius pada tengah hari, dan menurun ke 49.2 darjah celsius pada penghujung sesi ujian tersebut.

Seorang lagi pelumba Sepanyol, Marverick Vinales mewakili pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP di kedudukan ketiga dengan catatan 1:59.937s, manakala rakan sepasukannya dan juara dunia tujuh kali kelas utama kejuaraan itu, Valentino Rossi dari Itali di tempat keenam dengan masa 2:00.054s. - BERNAMA