Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perancangan tersebut juga secara tidak langsung sebagai usaha kementerian dengan kerjasama beberapa pihak untuk mencungkil lebih ramai bakat muda bagi diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Menurutnya, kementerian juga menyasarkan untuk merealisasikan hasrat mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah litar di setiap negeri dalam tempoh lima ke 10 tahun.

“Sukan permotoran di negara ini sangat popular, lihat sahaja jumlah penonton saban tahun di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). KBS sentiasa komited dalam membantu dan membangunkan sukan permotoran tanah air.

“Kerajaan membina litar lumba dan prasarana berkaitan bagi menyokong dan menaikkan industri sukan permotoran negara. Malah, saya yakin pembinaannya mampu memberi peluang kepada semua untuk terus bergiat aktif dalam sukan ini, sekali gus melahirkan jaguh-jaguh dunia,” katanya ketika merasmikan Litar Lumba Tangkak dan Kejuaraan Cub Prix Malaysia Ke-25, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Ismail Mohamed dan Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali.

Hadir sama, barisan pelumba negara seperti Hafizh Syahrin Abdullah, Khairul Idham Pawi, Zulfahmi Khairuddin, Adam Norrodin serta bekas pelumba pertama negara beraksi di kejuaraaan dunia, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini.

Khairy Jamaluddin berkata, pembinaan litar di seluruh negara secara tidak langsung dapat menambah bilangan sirkit perlumbaan seperti Kejuaraan Cub Prix yang merupakan pemangkin kepada perkembangan sukan permotoran negara.