Pelumba Ducati itu, yang memulakan saingan di petak utama telah dipintas oleh bakal rakan sepasukan dalam Honda itu di selekoh satu.

Kedua-dua mereka cuba mencari ruang untuk memacu jentera tetapi nasib malang menimpa Lorenzo apabila tayar belakang motosikalnya hilang kawalan sehingga mengakibatkan dia terpelanting ke udara.

“Dari luar, kelihatan saya seperti masuk terlalu laju, mengambil ruang trek yang le­bih dan sebab itu saya terjatuh.

“Daripada apa yang saya percaya dan pengalaman yang saya lalui, saya masuk ke dalam kelompok pelumba untuk melakukan selekoh, seperti mana yang saya buat dalam tujuh perlumbaan sebelum ini di Aragon.

“Saya dapat melihat Marc cuba masuk dari dalam secara agresif dan tidak mengambil selekoh kerana dia memacu terus ke kawasan hijau (di­pinggir trek). Sebaik sahaja dia melihat saya, dia cuba untuk menghalang saya di selekoh dan saya tidak mempunyai pilihan melainkan mengelak ke kawasan pinggir trek.

“Disebabkan kami mengambil selekoh terlalu luas dan pelumba lain mula meluru ke arah kami, jika saya tidak mahu jatuh ke kedudukan kelima atau keenam, saya perlu memecut laju motosikal.

“Saya sama sekali tidak menjangkakan tayar belakang telah mula hilang kawalan, jika saya sedar maka saya tidak akan memecut laju, dan saya akan memastikan jentera saya kembali seimbang serta pergi ke bahagian luar trek.

“Saya memang tidak mempunyai pilihan, dan seperti di Misano kemalangan yang menimpa saya memang hasil kesilapan saya sendiri, kali ini Marc telah memusnahkan perlumbaan saya dan juga kaki saya.

“Dia turut meranapkan kebarangkalian saya untuk meraih kemenangan hari ini (semalam) dan juga di Thailand,” kata Lo­renzo. – AGENSI