Walaupun terbabit dengan kemalangan di selekoh 15, pelumba Sepanyol itu mencatatkan masa terpantas 1 minit 58.830 saat dalam keadaan litar kering bersama jentera Ducati.

Catatan itu mengatasi rekod lama 1 minit 58.867 saat yang dilakukan oleh pelumba Honda Marc Marquez pada sesi ujian pra-musim 2015.

Catatan terpantas sepusingan rasmi yang dilakukan ketika minggu perlumbaan iaitu 1 minit 59.053 saat dibuat oleh rakan sepasukan Marquez, Dani Pedrosa pada 2015.

Lorenzo yang memulakan musim keduanya bersama pasukan Itali itu berkata jentera baharu Ducati lebih sesuai dengan corak tunggangannya.

Pengurus pasukan Ducati Davide Tardozzi berkata kejuaraan pada musim 2018 akan menjadi lebih kompetitif.

“Kami gembira dengan jentera Ducati. Kami cuba untuk membuatkan enjin menjadi lebih lancar dan kurang agresif. Ia dibuat seperti yang diminta pelumba pada tahun lalu,” katanya.

Rakan sepasukan Lorenzo dan juga naib juara dunia tahun lalu, Andrea Dovizioso terjatuh di selekoh 1 tetapi penunggang dari Itali itu tidak mengalami kecederaan dan mencatat masa keempat terpantas 1 minit 59.052 saat.

Pelumba lain yang turut terjatuh termasuk penunggang Perancis, Johann Zarco (Yamaha), pelumba Sepanyol, Tito Rabat (Ducati) dan jagu Switzerland, Tom Luthi (Honda) tetapi kesemuanya tidak mengalami kecederaan.

Juara dunia, Marquez yang menyuarakan keraguannya mengenai jentera baharu Honda mencatatkan masa 1 minit 59.348 saat di kedudukan tujuh terpantas manakala juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi mencatatkan masa kelapan terpantas. - AFP