Pengurus pasukan itu yang juga Pengurus Sukan Permotoran Boon Siew Honda, Zulhelmi Ahmad berkata, perlumbaan tersebut ternyata memberi kesan kepada pasukannya dari segi kedudukan disebabkan masalah teknikal ketika di pit.

“Saya tidak boleh mengatakan kami gembira dengan keputusan ini kerana kami gagal mencapai potensi sepenuhnya.

“Walau bagaimanapun, kami tidak boleh menafikan fakta bahawa pasukan ini melakukan lebih baik pada tahun ini dari segi masa keseluruhan seterusnya berjaya memperbaiki kedudukan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Boon Siew Honda Sdn. Bhd. di sini.

Pada perlumbaan Suzuka 8 Hours Endurance 2018, Honda Asia-Dream Racing mencatat jumlah keseluruhan masa 8:00:05.666, hanya empat pusingan ketinggalan daripada pasukan pendahulu.

Perlumbaan tersebut merupakan siri akhir Endurance World Championship yang berlangsung di Litar Lumba Antarabangsa Suzuka, Mie Prefecture, Jepun, kelmarin.

Sementara itu, pelumba Zaqhwan Zaidi berjaya menempatkan Honda Asia-Dream Racing di kedudukan ketujuh bersama-sama rakan sepasukannya, Troy Herfoss (Australia) dan Andi Farid Izdihar (Indonesia).

Menurut Zaqhwan, perlumbaan kali ini cukup mencabar berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Bukan mudah untuk mendapat tempat ketujuh dari kedudukan asal ke-12.

“Saya berterima kasih kepada pasukan yang telah bekerja keras dan dedikasi yang mereka tunjukkan akhirnya membuahkan hasil,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE