Zulfahmi menjelaskan Adam mengalami kemalangan di Seremban, Negeri Sembilan, ketika menuju ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari Johor Bahru.

Sehubungan itu, pelumba berusia 21 tahun tersebut perlu berehat selama beberapa hari di kediamannya di Batu Pahat, Johor sebelum kembali memulakan latihan.

“Adam mengalami kemalangan semasa ke latihan dalam pukul 8 pagi tadi (semalam). Apa yang saya diberitahu, dia cuba mengelak monyet di lebuhraya dan melanggar sebuah lori.

“Keadaan dia OK, cuma mengalami sakit-sakit badan dan kepala sedikit pening mungkin disebabkan hentakan beg udara keretanya.

“Saya akan memberi dia rehat dalam sehari dua dan selepas itu baru fokus semula dalam latihan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Bekas pelumba Moto3 negara itu di jadual menyertai pusingan ketiga di Litar Catalunya, Sepanyol dari 7 hingga 9 Jun ini.

Ketika ini, Adam sudah mengumpul 15 mata keseluruhan untuk berada di tangga ke-11, 46 mata di belakang pendahulu dari Sepanyol, Edgar Pons. - UTUSAN ONLINE