Sebelum ini peminat permotoran negara hanya dapat menyaksikan pasukan negara berlumba di peringkat antarabangsa dalam kategori Moto2 dan Moto3 sahaja.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali berkata, pasukan ini merupakan yang paling bermakna buat semua peminat sukan permotoran tanah air terutamanya bagi sukan motosikal.

“Hari yang bersejarah untuk sukan permotoran Malaysia dengan pelancaran pasukan MotoGP sendiri. Ianya satu impian yang dinanti-nantikan semua peminat motosikal Malaysia dalam sukan MotoGP untuk melihat kita ada pasukan sendiri dan kini ia menjadi kenyataan.

“Kita harap dalam tempoh dua tahun kita akan tetapkan seorang pelumba Malaysia dalam pasukan utama ini (MotoGP),” ujarnya selepas majlis perasmian pasukan dan pelumba-pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team di sini hari ini.

Tambah Razlan, walaupun ia tahun pertama pasukan MotoGP Petronas Yamaha Sepang Team bersaing, dia tetap meletakkan sasaran tinggi untuk melihat keputusan terbaik.

“Bagi tahun pertama kami meletakkan sasaran untuk berada dalam kedudukan 6 terbaik bagi MotoGP.

“Manakala kategori Moto2, kita bagi sedikit masa kepada pelumba tunggal tempatan, Khairul Idham Pawi yang juga pelumba baharu dalam pasukan ini. Biar dia sesuaikan diri dengan jenteranya termasuk enjin dan lain-lain. Saya harap dia mampu berada dalam kelompok 15 pelumba terbaik.

“Untuk Moto3 harapan yang diletakkan agak tinggi untuk melihat pelumba kita berada dalam kelompok kelima,” jelasnya.

Pasukan yang menggunakan nama Petronas Sepang Racing Team bakal mempertaruhkan lima perlumba iaitu dua dalam kategori MotoGP yang dibarisi Franco Morbidelli dari Itali dan Fabio Quartararo dari Perancis.

Bagi kategori Moto2, pelumba dari Malaysia, Khairul Idham Pawi bakal membawa cabaran pasukan berkenaan manakala Ayumu Sasaki dari Jepun dan John Mcphee (Scotland) akan bersaing dalam Moto3. -UTUSAN ONLINE