Masih berbaki satu perlumbaan akhir esok, penamat di tempat kedua di Thailand sudah cukup untuk menyaksikan Helmi bergelar juara dengan mengumpul 192 mata.

Satu-satunya pelumba yang mampu melengahkan kemenangan Helmi, Md Izzat Zaidi Salehan dari pasukan RCB Yamaha YY Pang sekadar menghuni tangga ke-14 untuk mengutip 124 mata keseluruhan.

Kemenangan Helmi bagaimanapun dilihat sukar pada peringkat awal apabila terpaksa bermula dari petak ke-19 setelah mengalami masalah enjin pada sesi kelayakan, semalam.

Begitupun, dia berjaya memaksimumkan keupayaan jentera untuk berada di kelompok hadapan.

Helmi menamatkan tujuh pusingan de­ngan masa 16 minit, 19.362 saat, di belakang pelumba wildcard, Wawan Wello (Yamaha Yamalube SND Factory) yang muncul juara dengan masa 16:18.788s.

Tempat ketiga milik pelumba berpengalaman negara, Md Affendi Rosli.

“Musim ini sangat sempurna untuk saya kerana berjaya memenangi gelaran Underbone 150cc.

“Terima kasih kepada pa­sukan yang bekerja keras menyediakan jentera terbaik sehingga impian kami menjadi kenyataan,” kata Helmi.

Kejayaan Helmi turut membantu SCK Rapido Hi Rev Honda Racing muncul juara berpasukan keseluruhan dengan mengumpul 192 mata, iaitu kemenangan pertama mereka sejak 2009.

“Perlumbaan hari ini sedikit mencabar apabila terpaksa memulakan perlumbaan dari kelompok belakang, namun saya memang bertekad untuk menamatkan saingan di atas podium,” katanya lagi.