Pelumba Monster Yamaha Tech3 itu, melalui minggu yang positif di Australia minggu lalu sebelum terjatuh ketika perlumbaan sebenar sewaktu berada pada kedudukan kelapan.

Selain itu, Hafizh turut mempamerkan aksi baik apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-10 di Motegi hujung bulan lalu.

Muncul pelumba pertama negara beraksi di kelas tertinggi itu, Hafizh bersemangat untuk mempamer aksi terbaik di Litar Sepang sekali gus meneruskan persaingan untuk memburu gelaran pelumba baru terbaik bersama pelumba Itali, Franco Morbidelli.

“Saya tidak sabar untuk beraksi di Sepang selepas beraksi di Phillip Island. Walaupun keputusan tidak memihak kepada saya, dua pertiga daripada perlumbaan itu sangat menarik.

“Saya juga belajar daripada barisan pelumba utama di depan dan dapat mengikuti mereka dari jarak dekat tetapi malangnya jentera saya hilang kawalan di selekoh keempat, selain kurang laju di laluan lurus.

“Beraksi di Sepang memberi lebih motivasi kepada saya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Litar Sepang Antarabangsa (SIC), hari ini mengadakan sesi minum petang bersama peminat yang turut melibatkan pelumba lain seperti Ayumi Sasaki, Nikki Tuuli, Khairul Idham Pawi dan Adam Norrodin.