Juara dunia dua kali, Jorge Lorenzo dari Ducati Team memenangi perlumbaan itu menerusi catatan masa 41 minit 43.23 saat, diikuti rakan sepasukan Andrea Dovizioso di tempat kedua (+6.37s) dan pelumba Movistar Yamaha MotoGP, Valentino Rossi ketiga (+6.629s).

Pelumba Monster Yamaha Tech 3, Hafizh yang mengulangi pencapaian seperti di GP Perancis itu, hanya ketinggalan 22.435s di belakang Lorenzo, manakala rakan sepasukannya Johann Zarco menduduki anak tangga ke-10 (+17.644s).

Pada saingan peringkat keenam itu turut menyaksikan juara dunia empat kali, Marc Marquez dari Repsol Honda Team menamatkan perlumbaan di tempat ke-16, sekali gus kempunan untuk mengutip sebarang mata.

Pelumba Sepanyol itu bagaimanapun masih unggul selaku pendahulu keseluruhan dengan mengumpul 95 mata, diikuti Rossi (72) dan Maverick Vinales dari pelumba Movistar Yamaha MotoGP ketiga (67), sementara Hafizh di tempat ke-16 (17).

Sementara itu, untuk kelas Moto2, Khairul Idham Pawi yang bernaung di bawah pasukan Idemitsu Honda Team Asia gagal mengutip sebarang mata walaupun berjaya melengkapkan perlumbaan 21 pusingan setelah dia sekadar berada di kedudukan ke-18 dengan catatan masa 40:25.918s.

Bagi kelas Moto3 pula, nasib malang menimpa pelumba Petronas Sprinta Racing, Adam Norrodin apabila dia hanya mampu menyempurnakan dua pusingan sebelum terjatuh yang sekali gus menamatkan aksinya di Mugello.

ends.