Penunggang Petronas Raceline Malaysia itu yang memulakan perlumbaan di petak ke-15 gagal memanfaatkan kelebihan ketika beberapa pelumba kelompok depan terlibat dalam kemalangan. Dia mencatat masa 43 minit 49.872 saat pada saingan 25 pusingan tersebut.

Juara Moto2 Grand Prix Sepanyol milik pelumba tuan rumah, Alex Marquez setelah adik kepada juara dunia MotoGP, Marc Marquez itu melakar masa terpantas 43:24.350s, sementara tempat kedua dimenangi Francesco Bagnaia dari Itali (43:27.792s) dan pelumba Portugal, Miguel Oliveira di kedudukan ketiga (43:29.308s).

Malang turut menimpa pelumba negara, Khairul Idham yang mewakili Idemitsu Honda Team Asia apabila terjatuh ketika perlumbaan masih berbaki 12 pusingan. Berakhir pusingan keempat, Hafizh kini berkedudukan ke-13 pungutan mata kejuaraan selepas mengumpul 14 mata. Sebelum ini Hafizh berkedudukan ke-10 di Argentina dan ke-11 di Amerika Syarikat.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara yang beraksi dalam kelas Moto3, Adam Noroddin turut terbabit dalam kemalangan ketika perlumbaan berbaki 11 pusingan. - UTUSAN ONLINE