Pelumba berusia 23 tahun itu berkata, sasarannya untuk meraih seberapa banyak mata dan menganggap sekiranya berada dalam kelompok 10 pelumba terpantas, ia satu bonus.

“Saya fokus perlumbaan akan datang untuk mengumpul mata, belum ada lagi sasaran (kedudukan) khusus, cuma saya sentiasa mencuba untuk buat yang terbaik.

“Kalau boleh nak raih mata dahulu kerana itu yang pen­ting (tetapi) kalau mampu berada dalam kelompok 10 terpantas itu dikira bonus bagi saya kerana ini baru tahun pertama berada dalam kelas perdana MotoGP,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Hafizh Syahrin antara pelumba negara yang memeriahkan majlis perasmian Litar Lumba Tangkak dan Kejuaraan Cub Prix Malaysia ke-25 oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, di sini hari ini.

Pelumba yang mewakili pa­sukan Monster Yamaha Tech 3 itu turut memberitahu semakin serasi dengan jenteranya, namun mengakui masih perlu belajar penggunaan suis elektronik.

“Jentera memang terbaik sebab pasukan juga amat terbaik, saya banyak belajar dengan pasukan dan mereka juga ba­nyak membantu serta memberi tunjuk ajar dari semasa ke semasa,” katanya.

Hafizh Syahrin yang juga dikenali sebagai Pescao atau bermaksud ikan kecil dalam bahasa Sepanyol menjadi pelumba rookie kedua terpantas selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-14 de­ngan catatan masa 42:55.953s pada pusingan pertama di Litar Antarabangsa Losail.