Dalam perlumbaan di Litar Ricardo Tormo itu, Hafizh yang mewakili pasukan Monster Yamaha Tech 3 berjaya menamatkan saingan di kedudukan ke-10 dengan catatan masa 24 minit 40.606s untuk meraih enam mata bagi mengumpul 46 mata secara keseluruhan.

Keputusan itu bagaimanapun tidak mencukupi untuk mengatasi Franco Morbidelli (EG 0,0 Marc VDS) yang mengumpul 50 mata secara keseluruhan meskipun gagal menamatkan perlumbaan terakhirnya dan Hafizh terpaksa akur di kedudukan kedua.

Dua lagi pelumba yang turut berada dalam perebutan anugerah itu ialah Takaaki Nakagami (LCR Honda Idemitsu) di kedudukan ketiga dengan 33 mata secara keseluruhan dan diikuti Xavier Simeon (Reale Avintia Racing) di kedudukan terakhir dengan satu mata secara keseluruhan.

Perlumbaan terakhir itu menyaksikan Andrea Dovizioso daripada pasukan Ducati muncul juara dengan catatan masa 24:03.408s diikuti Alex Rins daripada pasukan Team Suzuki Ecstar (24:06.158s) dan kedudukan ketiga menjadi milik Valentino Rossi dengan catatan (24:10.814s).

Dalam perlumbaan itu juga, seramai 13 pelumba gagal menamatkan perlumbaan termasuk juara dunia Marc Marquez dan Maverick Vinales.-UTUSAN ONLINE