Saingan musim 2018 menyaksikan Danial bersaing sengit bersama Md Syarifuddin Azman dalam pemburuan gelaran keseluruhan sebelum terpaksa menarik diri dari dua pusingan terakhir akibat kecederaan kaki sekaligus menyaksikan pencabarnya itu menjulang gelaran keseluruhan.

Meskipun ketiadaan Danial bersama pasukan dan beberapa pelumba lain, Ahmad Fuad boleh merasa lega setelah pelumba mereka, Md Shahrul Ezwan M Sharil berjaya menghadiahkan podium di tempat ketiga sewaktu pusingan pembukaan di Jasin, Melaka, Mac lepas.

Dua lagi pelumba, Daniel El Fahim Harris El Hadi dan Danish Haiqal S Rudzin turut berjaya menamatkan perlumbaan di kelompok 10 pelumba terbaik.

Menjelang perlumbaan pusingan kedua di Batu Kawan, Pulau Pinang minggu ini, Ahmad Fuad memberi bayangan mereka semakin bersedia untuk bersaing memburu lebih banyak kejayaan pada musim ini.

“Kami hampir memenangi gelaran keseluruhan musim lepas, namun, Danial terpaksa melepaskan gelaran kepada Md Syarifuddin setelah terpaksa menarik diri dari dua pusingan terakhir,” jelas pengurus yang pernah meraih tiga gelaran keseluruhan kelas perdana itu.

Tambahnya, walaupun tahun ini dia kehilangan beberapa pelumba termasuk Danial Syahmi, namun, yakin barisan pelumbanya ketika ini mampu untuk membawa cabaran pasukan.

“Mereka sentiasa menunjukkan komitmen tinggi dan bersedia menerima teguran dalam usaha untuk memastikan prestasi mereka terus meningkat.

“Selain Md Syahrul, saya yakin Daniel El Fahim juga mampu bersaing di kelompok depan terutama apabila turun beraksi di halaman sendiri minggu ini,” kata Ahmad Fuad yang turut membimbing Md Aiman Tahiruddin menjulang gelaran Wira pada musim 2017. - UTUSAN ONLINE