Mohd. Zaqhwan, 24, di bawah pasukan Honda Asia-Dream Racing With Showa akan menunggang jentera CBR1000RR dalam kelas Superbike di Litar Twin Ring Motegi.

“Tangan saya mengalami kecederaan setelah terjatuh di Jepun dan juga pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia (AARC) FIM di Thailand, musim lepas.

“Namun begitu, tangan saya sudah hampir pulih sepenuhnya. Jadi saya berharap dapat memberi aksi terbaik di Jepun nanti,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Boon Siew Honda Sdn. Bhd. di sini.

Pasukan Honda Asia-Dream Racing With Showa dianggotai kakitangan tertinggi anak syarikat Honda dan pasukan perlumbaan lain di rantau Asia dan Oceania. Bekas pelumba MotoGP, Makoto Tamada dipertanggungjawabkan sebagai pengurus pasukan tersebut.

Bagi kejohanan All Japan Road Racing Championship 2019, pasukan ini akan menyertai empat pusingan perlumbaan iaitu Pusingan 1 dan 6 di Motegi dan Pusingan 2 dan 8 di Suzuka. - UTUSAN ONLINE