Selepas mengharungi dua musim dalam Kejuaraan Motosikal Sepanyol CEV Repsol, Hafizh amat memahami kesukaran Zulfahmi untuk mengendalikan jentera Moto2

“Jujur saya katakan, bukan mudah untuk menyesuaikan diri. Ia bukan semudah pacu motosikal itu dan terus menang.

“Semua motosikal Moto2 menggunakan enjin yang sama tetapi kami menunggang jentera dengan menggunakan casis yang berbeza, skil pelumba amat penting.

“Saya tidak terus bersaing dalam kejuaraan dunia. Saya meraih pengalaman ­bersaing dengan motosikal 600cc pada kejuaraan di Australia sebelum berlumba dalam FIM CEV. Selepas beraksi dalam beberapa perlumbaan di atas tiket wildcard pada kejua­raan dunia, barulah saya bergelar pelumba tetap.

“Satu lagi, pelumba Eropah s­angat handal kerana mereka tidur, makan dan bernafas untuk berlumba. Itu sahaja yang mereka tahu.

“Anda perlu serasi dengan krew di pit dan mempunyai kefahaman teknikal yang baik untuk menjelaskan kepada mekanik tentang motosikal yang anda tunggang.

“Zulfahmi pula tidak mempu­nyai kesempatan itu kerana dia merupakan pengganti saya pada saat-saat akhir,” kata Hafizh yang telah berlumba semusim penuh dalam kelas Moto2 selama empat musim.

Hafizh yang kini menyertai pa­sukan MotoGP, Monster Yamaha Tech3 berkata, dia tidak melihat mana-mana pelumba Malaysia mampu mengisi kekosongan tempat Zulfahmi dalam SIC Racing Team pada masa terdekat.