Pemandu Finland, Valtteri Bottas yang belum berpeluang menikmati kemenangan musim ini kerana tenggelam di belakang rakan sepasukan, Lewis Hamilton, mencatat masa terpantas satu minit 08.846 saat (s) dalam cuaca mendung di Interlagos.

Hamilton, yang menggondol gelaran dunia kelima di Mexico, bulan lalu, dengan dua perlumbaan berbaki, mencatat 0.003s lebih perlahan pada sesi latihan yang terpaksa dihentikan seketika selepas pemandu Renault, Nico Hulkenberg terbabit dalam kemalangan.

“Prestasi Jentera lebih bagus berbanding di Mexico tetapi kami masih berusaha mengatasi beberapa isu. Kelajuan kereta boleh tahan, jadi kami cuma perlu memperbaiki prestasi.

“Jurang perbezaan antara pasukan lain tidak begitu jauh tetapi saya rasa jentera kami lebih berpotensi, jadi kami cuma perlu terus mencuba semaksimum mungkin,” kata Hamilton.

Sebastian Vettel dari Ferrari muncul pemandu ketiga terpantas dan hanya dipisahkan 0.07s di belakang selepas mengadu ada sesuatu yang tidak kena di bahagian kakinya.

Dia berada di depan pelumba Red Bull dari Australia, Daniel Ricciardo serta pemandu Belanda, Max Verstappen.

“Jentera berada dalam keadaan baik tetapi belum mempamer prestasi sebenar, jadi masih ada kerja yang perlu dilakukan.

“Kami sudah boleh bersaing, namun saya rasa ada ruang yang boleh ditingkatkan,” kata Vettel.

Mercedes bakal mengekalkan kejuaraan pengeluar, Ahad ini (awal pagi Isnin waktu Malaysia), sekiranya Ferrari gagal mengatasi mereka dengan 13 mata. – REUTERS