Pada ketika debaran sebelum perlumbaan MotoGP bermula, jejaka berusia 24 tahun itu dilihat tidak dapat menahan sebak dan menangis di petak mula dengan sesekali mengesat air matanya sewaktu lagu kebangsaan Negaraku dinyanyikan oleh Noh Hujan.

Mujur, kesedihan yang bersarang dihatinya dapat dilupakan sebaik lampu hijau menyala, dan dirangsang oleh keinginan tinggi untuk membuktikan kemampuannya di depan peminat tempatan, pelumba Monster Yamaha Tech 3 itu melengkapkan aksinya dengan cemerlang di kedudukan ke-10 (40 minit 59.291 saat).

Perlumbaan kelas utama itu dimenangi juara dunia 2018, Marc Marquez dari Honda Repsol yang mencipta masa terpantas 40:32.372s, meninggalkan pencabar terdekat dari Suzuki Ecstar, Alex Rins di kedudukan kedua (40:34.270s) dan Johan Zarco dari Monster Yamaha Tech 3 di tempat ketiga (40:34.846s).

“Sewaktu dalam perlumbaan saya bermula di kedudukan corot. Segelintir peminat sukan pemotoran tak percaya dengan kapasiti saya.

“Saya rasa kecewa sangat, rasa sedih sebab saya mampu buat tetapi ada yang tak percaya dengan kemampuan saya. Jadi, bila nak berlumba tu saya nampak ayah dari jauh di belakang pagar.

“Tiba-tiba saya terasa sebak, kerana tak sempat hendak jumpa ayah. Saya menangis apabila melihat dia mengesat air mata, saya tinggalkan grid untuk memeluk ayah seketika,” katanya yang mengucapkan terima kasih kepada pasukan keselamatan yang membenarkan dia bertemu bapanya.

Mengulas lanjut mengenai pencapaiannya pada GP Malaysia, Hafizh berkata, dia sama sekali tidak menjangkakan dapat menamatkan aksi di kedudukan ke-10, tetapi sebaliknya hanya mensasarkan dalam pungutan mata.