Kesilapan yang dilakukan pelumba Itali, Niccolo Antonelli setelah didapati bersalah menunggang motosikalnya terlalu perlahan sewaktu sesi kelayakan di beberapa sektor trek telah menyebabkan dia dikenakan penalti 12 petak ke belakang.

Hukuman yang diterima Antonelli itu menjadi khabar gembira buat Adam yang melonjak ke tempat ke-10 dengan catatan masa sepusingan terbaik 1 minit 58.388 saat (s) yang sekali gus meletakkan pelumba Petronas Sprinta Racing itu berada di posisi agak selesa untuk berada dalam kelompok hadapan pada perlumbaan sebenar di Litar Alcaniz, esok.

Penunggang tuan rumah, Jorge Martin dari pasukan Del Conca Gresini menempah petak utama menerusi catatan masa terpantas 1:57.066s, manakala seorang lagi pelumba Sepanyol, Jaume Masia yang mewakili pasukan Bester Capital Dubai di grid kedua (1:57.603s) dan kedudukan ketiga menjadi milik Enea Bastianini dari Itali (1:57.659s).

Adam dalam kenyataannya kepada media Malaysia, melahirkan rasa gembira terhadap peningkatan prestasinya yang sekali gus membantu dia mendapatkan rentak yang konsisten sepanjang sesi kelayakan, hari ini.

“Saya sangat gembira kerana sejak dari awal lagi saya bergelut untuk mendapatkan rentak. Namun, pada kelayakan tadi prestasi saya semakin meningkat dan ini merupakan satu satu aksi kelayakan terbaik yang pernah saya catat. Saya benar-benar seronok.

“Setelah bekerja keras, dengan keputusan ini ia jelas berbaloi. Saya tidak sabar untuk beraksi, esok dan saya berharap dapat menempatkan diri dalam kelompok hadapan,” kata anak kelahiran Johor itu. - UTUSAN ONLINE