Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali berkata pasukan menetapkan sasaran itu kepada Zulfahmi yang baharu dipilih menunggang casis Kalex bagi menggantikan Hafizh Syahrin Abdullah yang dikatakan beralih ke saingan kelas perdana MotoGP.

Razlan berkata Zulfahmi perlu memanfaatkan peluang yang diberikan memandangkan pasukan menggunakan kepakaran terbaik daripada ketua mekanik daripada pasukan Idemitsu Honda untuk memantapkan persediaan pasukan pada musim ini.

"Sasaran yang saya letakkan kepada Zulfahmi adalah kalahkan pelumba Malaysia yang berada dalam saingan Moto2, Khairul Idham atau lebih dikenali sebagai KIP.

"Walaupun Zulfahmi 'rookie rider' beliau adalah pelumba berpengalaman, jadi paling minimum beliau perlu bersaing dengan Khairul Idham," katanya kepada pemberita.

Razlan berkata beliau tidak boleh mengekalkan sasaran yang sama seperti sebelum ini iaitu berada dalam kelompok lima pelumba terbaik keseluruhan kerana pengalaman Zulfahmi tidak sematang Hafizh Syahrin dalam saingan Moto2.

"Jika dibandingkan dengan Hafizh Syahrin, pengalamannya lebih lama berbanding Zulfahmi dalam Moto2. Sekarang dia (Zulfahmi) dapat kembali ke perlumbaan MotoGP, buat yang terbaik. Ini adalah peluang terakhirnya untuk kembali berlumba," katanya.

Zulfahmi sebelum ini bersaing dalam Moto3 dengan pencapaian dua kali podium pada 2012 sebelum menamatkan kariernya pada 2015.

SIC semalam mengumumkan Zulfahmi merupakan pelumba baharu bagi pasukan SIC Racing.

Hafizh Syahrin difahamkan akan beraksi dalam perlumbaan kelas perdana iaitu MotoGP bagi pasukan Monster Yamaha Tech 3 menggantikan Jonas Folger yang mengalami masalah kesihatan.

Namun pengesahan mengenai perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat oleh pasukan terbabit.- BERNAMA