Anugerah yang menjadi rebutan ialah Anugerah Media SIC-MAM-SAM (Wartawan Terbaik & Jurugambar Terbaik), Pasukan Terbaik (dua roda), Pasukan terbaik (empat roda), Anugerah Kejuaraan Kebangsaan, Anugerah Pelumba Malaysia pilihan peminat, Dewan Kemasyhuran Sukan Pemotoran, Pemandu Terbaik (empat roda) dan Pelumba Terbaik (dua roda).

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, sebab utama pihaknya menganjurkan anugerah tersebut kerana pada setiap tahun, SIC mengadakan malam penghargaan buat pelanggannya dan juga kepada pemenang Siri Kejuaraan Malaysia serta Kejuaraan Superbike Malaysia.

“Namun selepas itu, SIC mula terfikir untuk mengadakan anugerah bagi sukan pemotoran negara memandangkan kita telah menyaksikan pembangunan sukan ini yang cukup memberangsangkan di Malaysia.

“Kita telah melihat anak Malaysia yang beraksi di luar negara mempamerkan prestasi sangat baik seperti dalam kejuaraan dunia tidak kira dalam perlumbaan dua roda atau empat roda. Jadi, saya rasa sudah tiba masanya untuk kami menghargai golongan ini dengan menganjurkan malam penghargaan buat mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurut Razlan, panel yang memilih pemenang terdiri dalam kalangan mereka yang berkecuali agar tidak timbul isu kepentingan peribadi dibangkitkan.

Jelas beliau, pihaknya juga melantik Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) untuk membuat pemilihan bagi anugerah wartawan dan jurugambar terbaik.

“Untuk Dewan Kemasyhuran Sukan Pemotoran pula buat masa ini kita senaraikan beberapa nama berdasarkan sumbangan mereka kepada negara dan akan ada nama-nama lain pula selepas ini.

“Sudah tentu ada suara-suara yang mempertikaikan mengapa individu tertentu tidak diiktiraf, walaupun ia kadang kala kendengaran melucukan tetapi senario ini merupakan satu perkembangan positif yang mana mereka juga mahukan pengiktirafan daripada kami,” ujarnya.

Bagi senarai Dewan Kemashuran, tokoh dan pelumba yang terpilih terdiri daripada Datuk Abdul Razak Dawood, Tan Sri Mokhzani Mahathir, Allahyarham Tan Sri Basir Ismail, Karamjit Singh, Alex Yoong, Ron Hogg, Shahrul Yuzy Ahmad Zaini, Khairul Idham Pawi dan Zulfahmi Khai­ruddin.